Sukan - Poland tangguh hajat Rusia.

WARSAW - Impian Rusia untuk menjadi pasukan pertama yang mara ke pusingan suku akhir pada kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 tidak kesampaian.

Kegagalan itu hadir selepas Rusia terikat 1-1 dengan pasukan tuan rumah bersama, Poland pada aksi kedua Kumpulan A di Stadium Nasional awal pagi semalam.

Meskipun seri, Rusia masih mengungguli kedudukan teratas kumpulan selepas mengumpul empat mata, satu mata di depan Republik Czech yang menang 2-1 ke atas Greece.

Kini, Rusia hanya perlu seri pada perlawanan terakhir menentang juara 2004, Greece, Ahad ini.

Jurulatih Rusia, Dick Advocaat, 64, dari Belanda memuji persembahan pemain-pemain Poland tetapi tetap berpuas hati dengan kejayaan mengutip satu mata itu.

"Poland bermain dengan baik malam ini (awal pagi semalam) meskipun berdepan risiko terlepas peluang untuk mara ke suku akhir sekiranya mereka tewas. Namun, kami memberi ruang kepada mereka untuk melakukan banyak serangan.

"Ini bermakna, kami perlu memperkemaskan benteng pertahanan.

"Kami juga bermain dengan baik dan menjaringkan gol sebelum rehat serta memperoleh banyak peluang pada babak kedua.

"Secara keseluruhannya, saya akui seri adalah satu keputusan yang baik bagi kami," kata Advocaat.

Sementara itu, selain menghidupkan peluang untuk menempah slot ke suku akhir, kejayaan Czech menewaskan Greece dianggap sebagai 'membalas dendam' sele- pas mereka tewas pada aksi separuh akhir Euro 2004.

Kini, Poland perlu menewaskan Czech pada aksi terakhir peringkat kumpulan untuk mencipta sejarah melayakkan diri ke suku akhir, Ahad ini.

Bagaimanapun, Poland dijangka tidak menghadapi masalah untuk melakukannya selepas memperoleh 'berita baik'.

Ini kerana, kapten Czech, Tomas Rosic- ky bergelut untuk pulih selepas mengalami kecederaan serius pada tendon Achilles. - AFP

Categories: Share