Sukan - England tagih sentuhan Rooney.


KIEV, Ukraine - England perlu menewaskan Sweden pada aksi kedua Kumpulan D di Stadium Olimpik di sini awal pagi Sabtu ini.

Jurulatih England, Roy Hodgson berkata, kemenangan akan menjadi platform terbaik buat penyerang, Wayne Rooney untuk kembali bersama skuad The Three Lions.

Bekas pengurus West Brom Albion dan Liverpool itu yakin penyerang Manchester United tersebut mampu memberikan impak, sekali gus membantu England memburu gelaran juara Euro 2012.

"Rooney bakal menjadi senjata utama England. Dia sangat cergas dan sudah bersedia untuk diturunkan," kata Hodgson.

Rooney akan menyarung jersi England pada aksi terakhir menentang Ukraine selepas menamatkan hukuman penggantungan dua perlawanan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.

Hodgson yakin barisan pemain England akan bekerja keras untuk mencatat kemenangan, sekali gus menjadikan kepulangan Rooney dalam pasukan itu lebih bermakna.

Tambah Hodgson, kehadiran Rooney bakal memberikan suntikan motivasi kepada pemain-pemain England untuk melangkah ke pusingan suku akhir Euro 2012.

"Rooney sudah tidak sabar untuk beraksi pada Euro 2012. Kehadiran Rooney dalam skuad ini amat ditagih kerana dia merupakan salah seorang penyerang terbaik di dunia.

"Kami akan memperoleh manfaat sekiranya memiliki penyerang yang berkualiti seperti Rooney.

"Saya berharap kami dapat menunjukkan satu persembahan mantap seperti pertemuan dengan Perancis. Kami akan berusaha untuk memenangi baki kedua-dua perlawanan ini," katanya. - Agensi

Categories: Share