Akui pernah putus asa

Lee Chong Wei menandatangani borang penyertaan ke Sukan Olimpik London 2012 selepas mengadakan sidang media khas bagi menjelaskan perkembangan kecederaannya di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR - Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mengakui pernah berasa putus asa untuk ke Sukan Olimpik London 2012 ketika dihimpit kecederaan buku lali.

Kata Chong Wei, ketika itu fikirannya terganggu sehingga mudah untuk memikirkan perkara sedemikian terutama apabila bersendirian selepas menjalani latihan.

Namun, katanya, perasaan itu dapat diatasi apabila memikirkan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan buat negara dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Tiada siapa tahu tahap kesakitan yang saya alami selain diri saya sendiri, malah ketika berlatih saya masih lagi fobia untuk melakukan beberapa pergerakan.

“Saya tahu masa semakin singkat dan disebabkan itu saya mahu memberikan tumpuan sepenuhnya pada latihan di atas gelanggang selain berharap mampu pulih sepenuhnya dengan cepat," katanya kepada pemberita selepas latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, dekat sini, semalam.

Chong Wei mengalami kecederaan ketika menentang pemain Denmark, Peter Hoeg Gade pada aksi terakhir Kumpulan C kempen Piala Thomas 2012 di Wuhan, China bulan lalu sehingga memaksanya menarik diri daripada perlawanan tersebut sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada lawannya.

Kecederaan dialami Chong Wei mencetuskan kebimbangan peminat-peminat sukan di Malaysia tambahan pula apabila pemain tersebut diletakkan sebagai sandaran utama kontinjen Malaysia untuk menghadirkan kilauan pingat emas pertama di London.

Sementara itu, Chong Wei turut menjelaskan sebab utama dia menjauhkan diri daripada media sejak akhir-akhir ini terutama selepas mengalami kecederaan.

“Bukan saya mahu jauhkan diri daripada media, cuma saya tidak tahu bagaimana mahu memberikan jawapan tentang kecederaan ini.

“Saya harap semua media faham situasi saya dan saya perlu beri tumpuan pada proses pemulihan ini untuk membolehkan saya kembali beraksi tanpa sebarang masalah," kata Chong Wei.

Categories: Share