Sukan - Itali berdepan tugas getir.


KRAKOW, Poland - Itali berdepan tugas sukar pada aksi kedua Kumpulan B menentang Croatia di Stadium Municipal, Poznan tengah malam ini.
Jurulatih Itali, Cesare Prandelli berkata, Croatia yang dibimbing Slaven Bilic adalah sebuah pasukan yang sukar untuk diramal.
Selain itu, nasib sering kali tidak menyebelahi anak-anak buah Prandelli apabila beraksi dalam mana-mana kejohanan utama sebelum ini.
Mengimbas kembali rekod kedua-dua pasukan sebelum ini, Itali sukar untuk menewaskan Croatia dalam lima pertemuan terakhir sejak tahun 1991.
Lebih memburukkan keadaan, skuad The Azzurri tidak pernah merekodkan kemenangan pada perlawanan kedua mereka dalam lima kejohanan utama sebelum ini.
Ketika ini, Croatia menerajui takhta liga Kumpulan B selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Republik Ireland, manakala Itali pula sekadar seri 1-1 dengan juara bertahan, Sepanyol.
"Ia bakal menjadi perlawanan getir buat kami (Itali) apabila menentang Croatia dalam saingan peringkat kumpulan.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, Croatia merupakan sebuah pasukan yang berbahaya kerana corak permainan mereka terlalu sukar untuk diramal.
"Mereka sentiasa mengubah corak permainan dan ada ketika mereka menerapkan corak permainan berbeza pada babak kedua permainan," kata Prandelli.
Berdasarkan ranking dunia yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Itali jelas memiliki kelebihan kerana menduduki tangga kelapan, manakala Croatia di ranking ke-12.
Bagaimanapun, ranking dunia itu tidak memberikan apa-apa makna buat Bilic.
"Bagi saya, Itali tidak sebaik Sepanyol tetapi kami tidak boleh memandang rendah kerana mereka memiliki banyak pilihan dalam corak permainan. - Agemsi

Categories: Share