Hiburan - Lawak tidak logik jadi taruhan.


FILEM komedi komikal atau cerita lawak tidak logik, jika kena pada tempatnya, pasti dapat menambat hati masyarakat atau penonton. Filem terbaharu terbitan Metrowealth Group (MIG) yang berjudul X - Janda-jandaku Gangster, arahan Ahmad Rusli Mohd Khadri atau lebih mesra disapa Olyn tampil dengan penceritaan sedemikian rupa.

Sudah seminggu filem tersebut ditayangkan di pawagam dan mendapat sambutan yang agak memberangsangkan.

Menurut Olyn, minatnya terhadap komik telah memberi inspirasi untuk dia berani mencuba jalan cerita yang jarang atau mungkin belum pernah dilakukan mana-mana pengarah tempatan dalam filem pertamanya itu.

Mengisahkan seorang lelaki bernama Hafiz yang mempunyai lima orang janda, tidak dapat dinafikan, sememangnya 80 peratus filem ini menggunakan elemen komedi tidak logik.

“Jika mahu kata meniru memang tiada. Namun mungkin jalan cerita yang dipakai adalah rujukan daripada filem-filem luar negara. Cuma, saya perlu sesuaikan dengan adat dan budaya Malaysia kita. Ini kerana filem komikal kebiasaannya berterus-terang dan kita kena ikut budaya kita. Banyak elemen komikal tentang perkara yang tidak logik, saya terjemahkan kepada visual,” ujarnya yang mengambil rujukan daripada beberapa buah komik termasuk komik Scott Pilgrim semasa ditemui pada majlis pratonton bertempat di E@Curve, Mutiara Damansara, Selangor.

Katanya lagi, kehidupan seharian menyebabkan rakyat Malaysia kadangkala tertekan. Jadi, filem ini dibuat untuk berhibur dan menghilangkan tekanan penonton yang menonton.

“Filem ini saya memang buat untuk orang bersantai dan ketawa. Masuk ke panggung dan berhibur. Mungkin ini juga merupakan platform untuk orang kenal saya dengan penceritaan sebegitu dan menjadi identiti sebagai seorang pengarah,” jelasnya ringkas.

Intan dan Pierre Risau

Pada mulanya, kedua pelakon senior MIG, Pierre Andre dan Intan Ladyana risau akan penerimaan penonton terhadap penceritaan berbeza yang ditampilkan dalam filem X - Janda-jandaku Gangster ini.

Categories: Share