Sukan - Ganjaran bertambah.


ATLET negara yang berjaya meraih pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik 2012 di London bulan depan bakal menerima ganjaran tambahan bernilai RM1 juta.

Sumbangan sebuah syarikat perabot, Three V Holdings Sdn. Bhd. (3V) itu dianggap sebagai suntikan moral baharu kepada atlet yang memenangi pingat emas pada temasya sukan terbesar dunia tersebut.

Tajaan daripada 3V itu juga menyaksi- kan jumlah habuan yang ditawarkan kepada pemenang pingat emas pada Sukan Olimpik kali ini meningkat kepada RM2 juta, termasuk habuan RM1 juta menerusi insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjelaskan habuan RM1 juta hasil tajaan 3V itu akan dibahagikan sama rata sekiranya terdapat lebih daripada seorang atlet yang menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara.

“Jelas sekali, kami berterima kasih terhadap sokongan dan sumbangan 3V. Ini membuktikan komitmen syarikat-syarikat swasta juga mampu memainkan peranan besar dalam pembangunan sukan negara,” kata Ahmad Shabery pada majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan 3V di Kuala Lumpur semalam.

“Tajaan RM1 juta ini sememangnya dialu-alukan dan saya berharap ia mampu menjadi suntikan semangat kepada atlet kita di London nanti.

“Malah, tajaan ini juga menyaksikan jumlah keseluruhan habuan yang ditawarkan kepada pemenang pingat emas Olimpik menjadi RM2 juta jika dikira dengan ganjaran Shakam.

“Namun, tajaan ini hanya untuk seorang sahaja, sekiranya ada lebih daripada seorang atlet kita yang memenangi pingat emas di London nanti, maka hadiah RM1 juta ini akan dibahagikan sama rata. Jika tiada pemenang, tajaan ini akan dibawa ke hadapan pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil pula,” tambahnya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan II, Senator Gan Ping Shou @ Gan Ping Sieu; Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolpkles Embong dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Olimpik, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran 3V, Chin Song menjelaskan, tajaan RM1 juta ini merupakan satu lagi tanda sokongan dan keyakinan tinggi syarikatnya terhadap kemampuan atlet negara untuk membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik ke Malaysia.

“Kami bersetuju untuk memberi tajaan ini kerana kami yakin dengan kemampuan atlet Malaysia untuk memenangi emas pertama di London,” kata Chin Song.

Categories: Share