Badminton - Koo-Tan mara ke suku akhir.

BEREGU utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Indonesia 2012 setelah menewaskan pasangan senegara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari semalam.

Kien Keat-Boon Heong mudah menundukkan beregu yang bernaung di bawah KLRC itu 21-17, 21-14 pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta.

Untuk rekod, dalam tujuh pertemuan mereka sebelum ini, Kien Keat-Boon Heong telah menewaskan Mohd. Zakry-Mohd. Fairuzizuan sebanyak empat kali, manakala kali terakhir mereka ditewaskan beregu veteran itu ialah pada separuh akhir Siri Super Hong Kong 2008.

Sementara itu, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong turut menempah slot dalam kelompok lapan terbaik setelah menundukkan pasangan tuan rumah, Andrei Adista-Christoper Rusdianto 21-17, 21-13.

Pasangan muda negara itu akan berdepan dengan beregu pilihan kedua dari Korea Selatan, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae yang turut mara selepas mengalahkan Marcus Fernaldi Gideon-Agripinna Prima Rahmanto 13-21, 21-12, 21-14.

Bagaimanapun nasib yang berbeza terpaksa dihadapi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty.

Pasangan yang bakal beraksi pada temasya Sukan Olimpik London bulan depan itu ditumpaskan pasangan dari Thailand, Prapakamol Sudket-Thoungthongkam Saralee 15-21, 17-21.

Eei Hui-Pei Tty pula tewas kepada pasangan dari Korea Selatan, Jung Kyung Eun-Kim Ha Na 21-18, 20-22, 10-21 pada aksi pusingan kedua beregu wanita.

Dalam perlawanan lain, pemain perseorangan India, Parupalli Kasyap mencipta kejutan apabila menewaskan pemain pilihan pertama dari China, Chen Long 21-17, 21-14 untuk mara ke suku akhir hari ini.

Categories: Share