Sukan - Ribery, Benzema sandaran utama Perancis.


DONETSK, Ukraine - Perancis meletakkan sandaran kepada Franck Ribery dan Karim Benzema untuk menewaskan Ukraine pada aksi kedua Kumpulan B tengah malam ini.

Kemenangan ke atas Ukraine sangat penting bagi menjamin slot ke suku akhir selepas skuad Les Bleus terikat 1-1 dengan England pada aksi sulung, Isnin lalu.

Kini, Ribery dan Benzema perlu memainkan peranan yang penting untuk memastikan skuad bimbingan Laurent Blanc itu tidak pulang awal.

Kedua-dua pemain itu menjadi sandaran selepas tampil dengan aksi bertenaga pada saingan panas badan sebelum ini.

Ribery menjaringkan tiga gol sepanjang tiga perlawanan, manakala Benzema meledakkan dua gol ketika membantu Perancis menewaskan Estonia 4-0 di laman sendiri pada awal Jun ini.

"Benzema terpaksa turun ke bawah untuk mendapatkan bola dan ia bukan sesuatu yang pelik kerana dia pernah bermain seperti itu bersama Real Madrid.

"Dia (Benzema) sentiasa turun ke bawah. Menentang pasukan yang mempunyai pertahanan yang kental, kamu perlu cuba mencari ruang yang sesuai. Benzema memang beraksi seperti ini.

"Memang benar, dia boleh beraksi dibelakang pemain pertahanan kerana faktor ketinggiannya tetapi menentang pasukan yang hebat seperti ini (England) memang sukar bagi penyerang itu," kata Blanc.

Pada aksi menentang England, barisan pemain utama Perancis dilihat menghadapi kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan skuad The Three Lions.

Meskipun Ribery berjaya membuktikan bahawa dia berada pada tahap kecergasan yang baik, corak permainannya masih belum mampu untuk membantu Perancis mengutip tiga mata penuh.

Kelibat Benzema pula seolah-olah dirantai benteng pertahanan England yang diketuai John Terry dan Joleon Lescott, sekali gus memaksa pemain berusia 24 tahun itu beraksi di bahagian bawah untuk mendapatkan bola. - AFP

Categories: Share