Pengajaran buat Sime Darby



KAPTEN Sime Darby, Es Lizuan Zahid (kanan) mengekang percubaan penyerang ATM, Marlon Alex James pada aksi di Stadium MBPJ kelmarin.


DUKA dijinakkan pada saat-saat akhir oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi Liga Premier malam kelmarin tidak sedikit pun meresahkan jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria.
Bagi Ismail, anak-anak buahnya telah mendapat pengajaran berguna pada perlawanan itu, lebih-lebih lagi mereka akan menghadapi Kelantan pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Lebih selesa dianggap sebagai pasukan underdog, Ismail berharap skuad kendaliannya mampu melakar kejutan ke atas Kelantan nanti, sekali gus membolehkan Sime Darby muncul kelab pertama menjulang Piala FA.
Tanpa berselindung, Ismail yakin fokus anak-anak buahnya menjelang final Piala FA tidak terjejas meskipun tewas 1-2 kepada ATM malam kelmarin.
"Dalam perlawanan menentang ATM, saya lihat barisan pertahanan saya sedikit hilang tumpuan pada babak-babak akhir sebelum dihukum penyerang lawan, Hairuddin Omar yang berjaya meledak gol kemenangan.
"Kecewa memanglah kecewa apabila tewas, namun ia tidak bermakna kami mahu berterusan meratap kegagalan dan mahu kembali bangkit mengejutkan The Red Warriors, Sabtu ini.
"Saya percaya, pemain saya begitu teruja kerana berjaya menjejakkan kaki ke pentas final Piala FA buat kali pertama, sekali gus dapat melupakan kekalahan terhadap ATM," katanya kepada Kosmo!semalam.
Namun pada masa sama, Ismail juga mengakui ia bukan satu tugas yang mudah apabila Sime Darby kehilangan khidmat kapten, Kamarul Afiq Kamaruddin pada final Piala FA kelak kerana menjalani penggantungan perlawanan.
Justeru katanya, beliau akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama nanti bagi menjana serangan menggempur kubu Kelantan .
"Sentuhan penyudah penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh juga benar-benar ditagih dalam usaha memburu gol awal bagi memberi- kan tekanan kepada pasukan lawan.
"Kami sudah melangkah sejauh ini, jadi kami enggan berputih mata sebegitu sahaja dan akan memberikan tentangan habis-habisan.
"Tidak ada perkataan rehat dalam 'kamus' Sime Darby, kami hanya boleh berehat sebaik Piala FA berakhir," katanya.
kredit : Kosmo online